Sunday, May 26, 2013

Dia ....buah hatiku

            Hampir enam  jam yang lalu dia meninggalkan aku. Sepanjang tempoh itu jugalah aku rasa kosong dan sunyi.  Ku renung tempat yang selama ini dihuninya, kosong! Memang dia tiada di situ. Sejak dia menjadi milikku walaupun  bukan sepenuhnya, baru hari ini dan kali ini  kami terpisah.  Meskipun belum lama aku bersamanya dan kalau hendak dihitung cuma baru lebih kurang 6 bulan aku mengenalinya, namun ketiadaannya di sisi membuatkan aku resah. Masakan tidak, dialah buah hatiku kini dan hari ini pula aku terpaksa berpisah dengan kekasih hatiku ini untuk julung-julung kalinya. Jika bersamanya aku rasa bahagia dan  bangga.

     Apabila berjauhan begini baru rasa rindu. Bukan tidak pernah dia aku biarkan sendirian dua tiga hari lantaran  beban emosi yang berkecamuk dan tugasan yang bertimbun. Kadang-kadang merajuk juga dia. Tetapi rajuknya tidak lama. Apa-apapun dia tetap kesayanganku dan harta terbaik yang ku miliki setakat ini. Meskipun aku akui dia bukanlah yang terbaik dan sempurna tapi biasalah bak kata orang , "kalau hati sudah suka, semuanya indah belaka" ye tak?   Ha.. ha..ha. Itulah PREVE HITAM kesayanganku.

Thursday, June 21, 2012

TIKA DIA JAUH DARI KU

Petang ini tiba-tiba segalanya jadi lain; sepi,suram dan sunyi. Ini kali yang kedua, tiba-tiba mak menyatakan hasrat untuk bermalam di rumah kakak. Memang sesuatu yang luar biasanya. Sering mak akan segera mahu pulang ke rumah sebaik sahaja aku pulang kerja. Malah bukan tidak pernah mak mengomel marah atau merajuk andai aku lewat pulang kerana hal-hal yang tidak dapat dielakkan seperti mesyuarat atau aktiviti gerko. Peliknya kini mak sendiri ingin bermalam atau dengan kata lain tidak mahu pulang. Walau apapun aku terpaksa akur dengan kehendaknya.
        Dengan langkah yang berat, aku pulang sendirian ke rumah. Rumah mak terasa sunyi, sepi sahaja walaupun ketika mak ada pun bukanlah riuh rendah kerana suara mak selalunya terdengar jauh ke dalam atau tersekat di kerongkong. Ke hulu ke hilir melunaskan tugas hakiki seperti biasa aku sesekala seakan terdengar bunyi kriuk pintu bilik mak ditolak. Ada ketika-ketikanya seolah terasa-rasa mak sedang baring di katil dan kemudian bangun perlahan-perlahan menuju ke bilik air. Aahh... terasa-rasa mak melakukan itu dan ini seperti biasa.        Oh Tuhan, betapa cantik aturanMu untuk hamba-hambaMu! Dalam hamparan debu-debu resah dan kebingungan itu Kau tunjukkan permaidani kesyukuran. Melalui detik ini Kau hulurkan hikmah dan pengajaran. Menelusuri detik ini Kau ajarkan aku insan yang alpa makna kasih sayang yang suci dan hakiki. Melalui saat ini Kau aturkan aku jalan muhassabah.Bersyukur dan menghargai insan yang paling istimewa di sisi. Menyantuninya selagi terdaya. Mencurah dan menyuburkan kasih sayang selagi ada ruang kesempatan sebelum dia jauh menghilang daripadamu.. Terima kasih ALLAH untuk hikmah ini...

Saturday, May 28, 2011

MAK, AMPUNKAN AKU…..

Malam-malam minggu yang kadang kala sahaja dapat kuisi dengan menonton televisyen. Cerekarama TV3 ini benar-benar menjentik rasa sehingga aku tidak bisa menahan air mata ini berjuraian laju bagai empangan yang telah pecah menuruni dan membasahi pipi.

Cerekarama ini mengisahkan seorang ibu yang cuba menumpang dan menagih kasih sayang anak-anak setelah kehilangan suami tercinta. Malangnya kesibukan anak-anak membuatkan si ibu rasa tersisih. Istimewanya kisah ini tidak memaparkan sikap biadap, derhaka si anak yang keterlaluan seperti kebiasaan cerita yang mengangkat tema sebegini tetapi sikap tak acuh anak akibat tuntutan kerjaya dan rumah tangga secara tidak sengaja mengetepikan perhatian mereka kepada si ibu. Gambaran itu sangat rapat dengan kehidupan realiti kita masa kini. Keadaan ini sebenarnya yang begitu menyentuh nubari halus aku sehingga berderaian air mata. Manakan tidak, dalam kesibukan aku mendepani hidup sama ada untuk kehidupan peribadi mahupun tuntutan kerjaya mungkin juga aku sama seperti anak di dalam cereka itu. Lupa untuk memeluk erat tubuh ibu, berbaring di sebelah ibu sambil mendengar cerita atau luahan rasanya. Lupa mempamerkan kasih sayang untuk seorang ibu. Lupa bergurau senda, bergelak ketawa bersamanya. Alpa menyelami kesunyian rasa seorang isteri yang telah lama ditinggalkan suami. Lalai mentafsir resah dukanya dalam menyusuri hidup di usia emas. "Mak, ampunkan aku..," ucapku halus bersama deraian air mata yang laju membasahi pipi. Cuma esakan yang tidak kedengaran. Aku tahan nafas dalam-dalam mencari kekuatan diri. Situasi itu benar-benar mencengkam atma jiwa ini. Betapa sebagai anak aku selalu mengambil mudah perasaan ibu, selalu berharap ibu akan memahami kesibukan yang mendera rasa. Mak, ampunkan anakmu….


 



 


 

Thursday, March 10, 2011

Bila sesekali terlupa usia...

Lama sungguh sanggar ini sepi, bersawang di sana sini , berdebu merata-rata. Lama tak sempat bersantai menghembus rasa dan menghidu aroma dunia. Hari ini, entah angin apa.. tiba-tiba bagaikan ditarik naluri jiwa rasa dan minda menjenguk sanggar rasa ini..

"Bila sesekali terlupa usia", mungkin ungkapan yang sesuai memanifestasikan gerak dan aksi aku hari ini. Apa tidaknya.. ketika usia bukannya dikategorikan muda remaja, aku galak "terkinja dan terjerit" di padang. Kalaulah ada rakaman video agaknya, bagaimanalah lagak di saat itu??.. Isyy.. tentu tersipu-sipu sendiri, malu pastinya... Semuanya gara-gara menyorak pasukan tarik tali Rumah Alfa yang guru penasihatnya 90% perempuan. Siapa lagi yang memberi sokongan dan sorakan semangat, kalau tak guru-guru perempuannya ni...Bila dah bersemangat apa lagi , bersorak, menjerit sakan sehingga terlupa tenaga dan usia sendiri.. Habis bersorak, tapak tangan merah menyala, tekak perit terasa.. Malamnya seluruh badan pula yang rasa dah mula bisa-bisa.. Itulah penangan bila sesekali terlupa usia. Apa-apapun puas rasanya. Tambahan pula pasukan Alfa muncul juara.. Tahniah untuk anak-anak Alfa dan tak lupa rakan-rakan Alfa. Teringat kata-kata Bonda Pengetua SM Teknik Perdagangan JB dahulu, masa sukan bersukanlah sungguh-sungguh dan kalau bersorak gembira (maknanya menjerit juga kan..) pun memang pada tempatnya..

Monday, June 7, 2010

Kisah misi Mavi Marmara dan kita.....

Terharu! Terkedu ! Terpaku.... Pilu dan entah apa-apa lagi perasaan yang aku sendiri sukar mentafsirkannya. Penawanan konvoi Misi Kemanusiaan Fortila ini benar-benar menyentak rasa pilu di hati ini. Melihat, menyaksikan berita dan mendengar pengalaman sukarelawan Malaysia yang terlibat dalam tragedi ini membuat aku muhassabah diri. Betapa seusia aku ini, aku terlalu leka dan lena dengan kesenangan dan zon selesa. Betapa aku terlalu melihat hanya ke dalam diri, memikirkan kesengsangaran diri yang tidak seberapa dibandingkan penduduk di Palestin atau Gaza. Betapa aku cuma itu dan ini......semua untuk diri sendiri. Sedihnya.... Oh,alangkah daifnya diri tentang nilai kemanusiaan sejagat!

Sering kali kepentingan diri mengaburi maslahat ummah. Api demonstrasi anti-Israel marak di seluruh negara tercinta ini dan serata dunia. Namun adakah cukup sekadar demonstrasi dan pekikan kemarahan yang meluap-luap terhadap Israel? Takutkah Israel dengan kutukan manusia seluruh dunia sedangkan dalam masa yang sama mengagung-agungkan buatan dan budayanya? Mampukah negara haram Israel musnah dengan terbakarnya bendera Israel dan patung pemimpinnya tetapi kita menjadi penyokong kuat pada ekonomi mereka melalui cara hidup kita? Nyata semuanya ini masih perlu tetapi perlu disertakan atau diseiringkan dengan tindakan.
.

Kita masih tak terdaya mengelakkan diri daripadanya walaupun hanya mengawal diri menggunakan barangan keluarannya atau yang ada kaitan dengannya. Kita tidak mampu menepis semuanya demi kesenangan dan kelangsungan hidup kononnya. Betapa nipisnya nilai iman kita.....

Thursday, May 13, 2010

GILA "FACEBOOK"?..

Facebook?Satu fenomena yang menggila masa kini. Di mana-mana orang bercerita fasal "facebook", dari anak muda, pelajar sekolah, remaja, mahasiswa, suri rumah, pekerja kolar biru, pegawai eksekutif mahupun sesiapa sahaja. Ini kemajuan dunia hari ini. Kalau tiada akaun "facebook" macam ketinggalan pula. Apabila telah membuka akaun maka bermulalah satu dunia baru.. Hati jadi resah jika laman "facebook" tidak dijengah, status tidak dikemas kini. Hati jadi tak sabar melihat reaksi dan respons rakan. Kadangkala galak dengan pelbagai permainan aplikasi moden. Walau sesibuk mana masih dicari kesempatan untuk itu. Itulah kata orang-orang tua dahulu, "benda baru semuanya cantik dan indah". Segalanya menguja dan menarik. Mulalah asyik mengikuti perkembangan rakan "facebook" masing-masing. Kadang-kadang pelik juga. Rakan serumah atau setempat kerja yang sering bertentang muka, bertentang mata, bergesel bahu tetapi masih galak bersembang di laman "facebook". Pelik bukan..

Itu sebahagian yang kuperhatikan. Apa yang aku baca pula lebih daripada itu. Dalam majalah Al Islam - Mei digambarkan kegilaan masyarakat dunia hari ini pada "facebook" sehingga ada yang lebih prihatin dengan keperluan "pet" peliharaan di laman tersebut berbanding keperluan anak kecil sendiri yang kehausan dan kelaparan. Ini perkara yang mendukacitakan. Sekali fikir macam terlalu dibesar-besarkan. Apa-apapun aku cuma berharap masyarakat kita dapat mengambil manfaat daripadanya dengan seluas mungkin. Bersederhana dalam segala hal itu lebih banyak baiknya....kan.

Sunday, May 9, 2010

BERKELANA DI HARI IBU ......

Hari Ibu kembali lagi... Di mana-mana sahaja di pelosok tempat ada sahaja sambutan untuknya. Ada yang menyambutnya secara gah, mewah dan meriah. Ada juga sekadar sahaja melalui ucapan selamat dan kiriman kad. Namun ada juga sekadar menyedari kewujudan hari istimewa ini tanpa sebarang aktivti khusus untuk si ibu.Harinya sama seperti hari-hari lainnya. Tiada kasih dan sayangkah mereka? Tidak mengenang budikah mereka? Telah luputkah sayang mereka dek tiada majlis gah bersama penyanyi tersohor negara? Tentunya tidak.. Manifestasi kasih sayang bukan sekadar ucapan di bibir tetapi lebih dari itu yang dapat menyentuh hati ke hati...
Ironinya... gembirakah hati ibu sekiranya hari ini sahaja dipuja, dijunjung penuh mulia sedangkan ketika-ketika lainnya sendirian mengucup rindu hanya pada gambar yang kaku atau kenangan yang tersisa. Mungkinkah kuntuman dan jambangan bunga yang digubah indah sebagai persembahan sayang buat ibu, mengharumkan teratak sepi seorang ibu yang jarang dikunjungi? Jawapannya hanya ada pada kita sendiri,yang merasa melalui hati yang suci bukan mata zahir yang tertutup. Bersamalah kita taburkan haruman kasih sayang yang tak berpenghujung dalam kelana ibu sepanjang usianya di dunia. Moga taburan kasih sayang ini mampu membunga dan membuahkan kedamaian sejagat.